Contoh Sample Artikel

Bulan Rabiul awal merupakan bulan kelahiran Nabi Muhammad SAW. Pada tanggal 12 Rabiul awal (mengikut sebahagian pendapat), lahirlah seorang Nabi akhir zaman. Walaupun jarak diantara kita dengan hari kelahiran Nabi SAW berbeza lebih 1400 tahun, namun jarak bukanlah penghalang untuk kita sebagai ummatnya terus menzahirkan rasa sayang, cinta dan rindu terhadap Rasulullah SAW.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda,

“ Beruntunglah sesiapa yang melihatku lantas beriman kepadaku dan beruntunglah (diulang perkataan beruntung sebanyak 7 kali) sesiapa yang tidak pernah melihatku tetapi mereka tetap beriman kepadaku.” HR Bukhari

Yang dimaksudkan dalam hadis tersebut adalah kita semua. Umatnya yang tidak pernah mengenali baginda Nabi SAW. Tidak pernah melihat wajahnya, tidak pernah mendengar suaranya. Tidak pernah berjalan seiring dengannya.

Sejujurnya bukan mudah untuk mencintai orang yang tidak kita kenali. Namun, begitulah hikmah yang Allah tetapkan buat kita. Walaupun, tidak pernah melihat susuk tubuh atau wajah baginda Nabi SAW, tetapi jauh di dalam hati kita terasa betapa kita kenal dan rindu pada baginda hanya kerana dengan mentadabbur al Quran, juga daripada pembacaan sirah-sirah Nabi dan cerita para sahabat.

Nabi Muhammad SAW merupakan manusia agung yang berperibadi mulia. Buktinya, lihatlah bagaimana seorang pemuda seperti baginda SAW mendapat kepujian dan kepercayaan daripada penduduk mekah sehinggakan digelar ‘Al-Amin’ kerana Rasulullah merupakan seorang yang amanah dan jujur.

Baginda mempunyai budi pekerti yang baik, dan sama sekali tidak pernah berdusta. Penduduk Mekah sangat menyanjungi dan menyukai Nabi Muhammad Sehinggalah tiba saat Allah menurunkan wahyu agar baginda Nabi SAW menyebarkan agama Islam.

Tidak mudah dan bukan sekejap masa yang diambil oleh Nabi SAW dalam perjuangan menyebarkan dakwah Islam. Sangat sukar untuk meyakinkan orang kafir supaya menyembah Allah dan mengakui kerasulannya. Pelbagai cabaran dan ujian yang berat Allah berikan kepada Nabi SAW sehingga Nabi dan keluarga baginda dipulau, dicaci maki dan dihina.

Ingat lagi peristiwa Nabi Muhammad SAW pergi ke Thaif? Disebabkan bersedih dengan kematian Khadijah dan Abu Thalib serta ditambah dengan tekanan orang kafir quraisy yang terlalu kuat, baginda mengambil keputusan untuk ke Thaif bagi menyebarkan agama islam.

Namun, Allah menguji lagi dengan penolakan pemerintah dan penduduk Thaif yang langsung tidak menerima kedatangan baginda. Bukan setakat dihalau, malah baginda turut dilempar batu oleh penduduk Thaif sehingga berdarah kaki Nabi SAW.

Pun begitu, Nabi SAW masih tetap bersabar dan tidak pernah berdendam dengan penduduk Thaif. Malah, baginda berharap serta berdoa agar kelak, anak cucu generasi mereka akan menyembah Allah dan tidak berbuat syirik sedikit pun. Begitulah sikap Nabi SAW yang perlu kita teladani. Keburukan dibalas kebaikan.

Perjuangan Nabi SAW penuh dengan liku-liku cabaran, dugaan dan keperitan hidup ditempuhi hanya semata-mata kerana ingin menyampaikan agama Islam kepada seluruh umatnya. Bahkan, kita pada hari ini mengetahui tentang Islam dengan begitu mudah tanpa perlu bersusah-payah. Ini semua dapat kita nikmati hasil daripada pengorbanan Nabi SAW yang menyebarkan dakwah tanpa henti sehingga ke penghujung nafas baginda.

Ketahuilah, Nabi SAW amat mencintai ummatnya. Pernah saya mendengar seorang ustaz mengatakan bahawa Nabi SAW sangat rindu untuk berjumpa dengan kita. Sehingga Nabi hampir wafat pun, Nabi masih memikirkan kita dengan menyampaikan pesan dan amanat supaya terus kekal berpegang teguh dengan Al Quran dan Sunnah.

Itu Nabi SAW. Kita pula bagaimana? Adakah kita juga mempunyai perasaan rindu sepertimana Nabi rindukan kita? Apa yang perlu kita lakukan untuk menunjukkan tanda kasih dan cinta kita terhadap baginda Nabi Muhammad SAW?

Tak lain tak bukan adalah dengan memperbanyakkan selawat keatas Nabi SAW dan menuruti sunnahnya. Banyak berselawat kepada Rasulullah merupakan tanda kita cinta kepada baginda. Kerana para ulama ada menyebut,

“Sesiapa yang mencintai sesuatu maka dia akan sering menyebutnya”.

Malah, Allah juga ada berfirman dalam surah Al ahzab ayat 56 yang bermaksud,

“Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat (memuji dan berdoa) ke atas Nabi Muhammad SAW. Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu ke atasnya serta ucapkanlah salam dengan penghormatan.”

Justeru itu, buatlah apa sahaja yang termampu untuk mengingati Rasulullah SAW. Apa sahaja kebaikan yang kita lakukan bertujuan untuk menyatakan kecintaan terhadap baginda SAW pasti beroleh ganjaran pahala dari Allah dan mendapat syafaat baginda SAW kelak. InsyaAllah.

Kongsi:

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on pinterest
Pinterest
Share on linkedin
LinkedIn

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Anda Mungkin Meminati

DailyQuran Digital Kini Live!

Ada sebuah hadis sahih yang disebut oleh Baginda SAW berkenaan tujuh golongan yang mendapat naungan Allah di hari kiamat kelak.

Contoh Sample Artikel

Bulan Rabiul awal merupakan bulan kelahiran Nabi Muhammad SAW. Pada tanggal 12 Rabiul awal (mengikut sebahagian pendapat), lahirlah seorang Nabi